SEORANG wanita berkongsi cerita sedih menimpa suaminya yang maut dalam kemalangan apabila motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Kepong ke Batu Caves, malam tadi.
Menerusi perkongsian dalam aplikasi Threads, wanita itu yang hanya dikenali sebagai Mas memberitahu, suaminya, Muhammad Amir sebelum kejadian meminta supaya dia memasak sotong goreng kunyit untuk makan malam, namun tidak sempat menjamahnya kerana terbabit dalam nahas semasa pulang dari tempat kerja.
“Suami saya sebenarnya dah balik awal, tapi disebabkan susu anak tertinggal di tempat kerja, dia patah balik ambil susu itu,” luah wanita itu dan turut memaklumkan suaminya meninggal dunia di lokasi kejadian dengan wajah tenang seolah-olah sedang tidur, malah barang dan pakaiannya turut dipenuhi tumpahan susu anak.
Mas turut meluahkan keredaannya bahawa Allah meminjamkan allahyarham suaminya itu selama setahun 10 bulan kepada beliau dan anak lelakinya.
Perkongsian Mas dalam aplikasi itu mendapat reaksi lebih 2,000 komen yang rata-ratanya memberikan kata-kata semangat dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 8.20 malam membabitkan motosikal jenis Honda RS150 dan lori jenis Nissan Tipper.
“Lori berkenaan berhenti di bahu kiri jalan kerana mengalami masalah teknikal sebelum motosikal mangsa dipercayai melanggar besi gandar di bahagian belakang kenderaan itu.
“Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan. Pemandu lori berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan lanjut,


