KEGIATAN dua wanita yang menyamar sebagai pegawai kanan polis untuk memperdayakan mangsa kononnya terlibat dalam kes khalwat terbongkar apabila kedua-dua mereka diberkas dalam Ops Puyuh di Kuantan, Pahang kelmarin.
Kedua-dua suspek yang berusia 30 dan 36 tahun itu diberkas di sebuah rumah di bandar ini susulan laporan dibuat pasangan kekasih yang ‘ditahan’ kononnya atas kesalahan khalwat.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek yang bekerja sendiri itu menemui pasangan berusia lingkungan 20-an dengan menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Deputi Komisioner sambil mengemukakan dokumen palsu kononnya mangsa terlibat dalam kes khalwat.
“Pasangan itu diminta membuat sejumlah pembayaran ke akaun milik suspek kononnya untuk menyelesaikan kes berkenaan.
“Siasatan turut mendapati suspek menggunakan aplikasi ChatGPT untuk menghasilkan surat palsu berlogo pihak berkuasa dengan menggunakan nama seorang pegawai kanan polis yang tidak wujud,” katanya melalui kenyataan hari ini yang dipetik daripada Sinar Harian.
Ashari berkata, surat itu kemudian disunting oleh salah seorang suspek menggunakan komputer riba untuk menambah tanda tangan palsu bagi tujuan penipuan.
“Susulan penahanan kedua-dua suspek, polis merampas sebuah komputer riba dan telefon bimbit yang disyaki digunakan wanita terbabit.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya terhadap mana-mana individu yang mengaku sebagai pegawai kerajaan atau polis tanpa pengesahan sahih.
“Saya tegaskan di sini, tiada sebarang bayaran atau transaksi wang dibenarkan untuk menyelesaikan kes atau siasatan.
“Sebarang maklumat mengenai kes seumpama ini boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-505 2222,” katanya.


