Tiga pekerja maut, tiga cedera kebakaran kontena atas kapal

TIGA pekerja kapal maut manakala tiga lagi cedera dalam insiden kebakaran sebuah kontena di atas kapal MSC Kyparissia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri hari ini.

Kebakaran berlaku ketika kerja pemunggahan kontena dijalankan di bahagian bawah geladak Blok 5 kapal terbabit.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.23 tengah hari sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri tiba di lokasi pada 12.40 tengah hari.

“Kejadian melibatkan enam mangsa lelaki terdiri daripada tiga yang maut iaitu warga Malaysia berusia 59 tahun, warga Filipina berusia lingkungan 40-an dan warga Britain berusia lingkungan 40-an.

“Tiga pekerja cedera membabitkan warga Malaysia berusia 26 tahun dan dua warga Filipina berusia lingkungan 40-an.

“Kesemua mangsa cedera telah dihantar ke Hospital Gleneagles Iskandar Puteri oleh ambulans PTP,” menurut kenyataan JBPM Johor yang dipetik Bernama.

Menurut kenyataan itu, pemadaman awal dilakukan Bomba PTP menggunakan dua tug boat dengan sokongan operasi pemunggahan oleh Quay 118.

JBPM Johor memaklumkan Pos Kawalan Hadapan (PKH) telah dibuka di lokasi dan operasi pemadaman masih dijalankan bersama pihak PTP.

“Sembilan anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah kenderaan utiliti digerakkan dalam operasi tersebut dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img