SEKURANG-kurangnya 54 orang cedera dalam satu insiden letupan yang berlaku di sebuah masjid dalam kompleks sekolah di Kelapa Gading, Jakarta Utara semasa solat Jumaat tengah hari ini, menurut pihak polis Indonesia.
Letupan dilaporkan berlaku di dalam masjid yang terletak dalam kawasan Sekolah Menengah Atas Negeri 72 (SMAN 72) di kompleks perumahan Tentera Laut, Kelapa Gading.
Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri berkata, siasatan awal mendapati letupan berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat, menyebabkan berlaku suasana panik dan kecederaan pelbagai tahap termasuk melecur dan trauma akibat hentakan.
“Seramai 54 mangsa telah dihantar ke beberapa hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
“Keadaan mereka berbeza-beza, ada yang cedera ringan dan ada yang mengalami kecederaan serius,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan.
Rakaman media tempatan menunjukkan kawasan sekolah telah dikawal ketat oleh pasukan polis khas, manakala beberapa ambulans dilihat bersiap sedia di lokasi kejadian.
Gambar-gambar dari lokasi menunjukkan masjid tidak mengalami kerosakan besar, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada insiden tersebut berpunca daripada kebocoran gas, peralatan elektrik atau unsur jenayah.
Unit pemusnah bom turut dikerahkan ke lokasi sebagai langkah berjaga-jaga.
Masjid berkenaan terletak dalam kawasan sekolah awam yang menempatkan pelajar dari pelbagai peringkat umur.
Pihak pengurusan sekolah telah menangguhkan semua aktiviti sehingga diberitahu kelak.


