ANAK bekas pengasas Al-Arqam yang bebas dari Penjara Kajang selepas selesai menjalani hukuman kerana menjadi ahli kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang menyalahi undang-undang, tidak menyalahkan mana-mana pihak.
Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33, berkata, peristiwa yang menimpanya bersama 12 pemimpin tertinggi yang lain merupakan salah satu ujian Allah untuk mendidik hamba-hambanya.
“Kami tak salahkan sesiapa, sememangnya kamilah yang kena bertawakal dengan Tuhan.
“Allah nak didik kami untuk terus kuat dan selama ini kami banyak belajar malah akan terus belajar,” katanya ketika ditemui di luar Penjara Kajang hari ini, lapor Sinar Harian.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia termasuk rakan-rakan yang sentiasa mendoakan mereka di sepanjang penahanan.
Mohammad Adib yang memakai baju-T lengan Panjang berwarna biru kemudiannya dipeluk oleh ahli keluarga dan rakan-rakan yang menunggu sejak awal pagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali mengucapkan salam ketika menuruni bas Jabatan Penjara Malaysia.
“Assalamualaikum semua,” katanya yang kemudian duduk di kerusi roda oleh ahli keluarganya.
Dia mengangkat tangan dan tidak mengulas lanjut ketika disapa pihak media.
Hari ini, Mohammad Adib, Nasiruddin dan 11 pemimpin tertinggi syarikat dihukum penjara 15 bulan manakala sembilan wanita didenda RM4,500 kerana menjadi ahli pertubuhan yang menyalahi undang-undang, lima tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar memerintahkan semua tertuduh lelaki itu dihukum penjara bermula tarikh tangkap, antara 25 September hingga 12 Oktober 2024.
Sementara isteri CEO GISBH dan lapan tertuduh wanita diperintah ke penjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, Nasiruddin Mohd Ali, anak bekas pengasas Al-Arqam dan 11 pemimpin tertinggi syarikat itu dibebaskan dari Penjara Kajang pada jam 5.40 petang Jumaat.
Mereka disambut ahli keluarga dan rakan-rakan yang menunggu di luar penjara sejak awal pagi.
Menurut peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili semua tertuduh, meskipun mereka dijatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan, namun jika ditolak dengan tempoh cuti umum dan hujung minggu, ia membolehkan anak guam dibebaskan serta-merta.


