DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas tindakan pembangkang yang dianggap beliau terus mengkritik secara melulu Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) dengan Amerika Syarikat (AS) tanpa memahami isu kandungan sebenar perjanjian tersebut.
Perdana Menteri berkata, kritikan melulu tanpa asas mencerminkan tahap perbahasan politik negara yang masih rendah dan tidak berasaskan ilmu serta kefahaman mendalam terhadap isu yang dibangkitkan.
“Kadang-kadang rakan-rakan di Parlimen bila ada perjanjian dengan AS, terus kata kita mengalah, kita dijajah. Sudah baca (perjanjian) ke belum?,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) Putrajaya hari ini.
Untuk rekod, selain pembangkangkang, perjanjian itu juga turut dikritik oleh pemimpin kerajaan seperti Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
Rafizi membangkitkan perjanjian AS dengan Kemboja lebih baik berbanding Malaysia – AS.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, terdapat beberapa aspek dalam perjanjian Kemboja-AS yang memberi kelebihan jauh berbeza berbanding dengan negara ini, termasuk dari segi klausa tindakan timbal balik.
Ujarnya, dari segi klausa berkenaan, perjanjian Malaysia-AS menyatakan tindakan timbal balik itu perlu dilaksanakan demi faktor kepentingan ekonomi bersama atau keselamatan negara.
“Klausa tentang tindakan timbal balik itu bermaksud maksudnya apa (dasar) yang AS laksanakan, negara kita kena buat juga,’’ katanya.
Hassan pula ketika berucap di Parlimen pada 28 Oktober lalu memetik angka bahawa jumlah komitmen yang diperlukan daripada Malaysia untuk membeli barangan AS berjumlah lebih RM1 trilion.
Ini katanya, seolah-olah Malaysia hanya menyerahkan kekayaannya kepada Presiden AS Donald Trump.
“Tambun (Perdana Menteri Anwar Ibrahim), apa sudah jadi? Beratus tahun negara kita mempertahankan, melawan Belanda, Portugis, Inggeris (sampai) kita merdeka.
”Tapi hari ini Trump datang, yang jahanamkan Gaza, bumi Palestin, kita sambut mereka, dan kita serah kekayaan kita. Ini pemunggahan harta negara miskin Malaysia pada Amerika,” katanya dalam ucapan yang berapi-api semasa membahaskan Belanjawan 2026.
Mengulas lanjut Anwar berkata, Malaysia perlu memanfaatkan hubungan dagangan dan penyelidikan dengan negara luar secara bijaksana bagi memperkukuh kedudukan ekonomi serta akademik negara.
“Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini menunjukkan semua negara berminat untuk melabur, meningkatkan perdagangan, penyelidikan dan kerjasama universiti.
“Ini menunjukkan Malaysia semakin diyakini,” jelas beliau.
Anwar meminta mahasiswa agar menjadi pelopor kepada percambahan idea yang segar, berpaksikan nilai kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.
“Kita sudah merdeka hampir tujuh dekad tetapi masih ada yang terperangkap dengan idea kuno dan jumud, menghina kaum, memperlekeh budaya sendiri. Idea sebegitu belum merdeka.
‘’Saya fikir kadang-kadang pemimpin-pemimpin mahasiswa itu lebih hebat daripada sebahagian ahli Parlimen yang ada. Nak bahas dengan idea pendorong dan idea yang segar ke arah islah serta berteraskan akhlak dan etika,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan perjuangan membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara terus diperkasa kerajaan dengan hasil ketara sejak dua tahun lalu.
“Belum pernah dalam sejarah, dalam dua tahun ini kita berjaya menghentikan banyak penyeludupan, perjudian dalam talian, ketirisan dan rasuah. Sebanyak RM15.5 bilion telah diselamatkan,” katanya.


