CEO GISB bersama 12 lelaki dibebaskan dari Penjara Kajang

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali bersama 12 lelaki lain dibebaskan dari Penjara Kajang pada pukul 5.40 petang hari ini, selepas menjalani tahanan selama 13 bulan dan 20 hari.

Peguam utama pembelaan, Datuk Rosli Kamaruddin, berkata anak guamnya akan dibebaskan sebaik urusan pentadbiran penjara selesai, walaupun masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 bulan selepas mengaku bersalah menjadi ahli pertubuhan haram.

“Mereka tidak perlu kembali ke Penjara Sungai Buloh lagi. Semua urusan akan diselesaikan hari ini.

“Selepas proses pengesahan cap jari dan dokumentasi selesai, mereka boleh pulang terus. Tempoh reman selama 13 bulan, ditambah dengan pengurangan hukuman standard sebanyak satu pertiga, melayakkan mereka untuk dibebaskan,” katanya ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Penjara Kajang, lapor Berita Harian.

Beliau berkata bagi sembilan tertuduh wanita yang masing-masing dikenakan denda RM4,500, pembayaran akan dibuat di lokasi sama sebelum mereka turut dibebaskan.

Kira-kira jam 1 tengah hari, semua tertuduh dibawa ke bangunan utama penjara yang terletak hanya beberapa minit dari kompleks berkenaan dan mereka dijangka dibebaskan selepas solat Jumaat.

Terdahulu, kesemua 22 tertuduh mengaku bersalah menjadi ahli GISBH, yang diisytiharkan sebagai pertubuhan haram, antara Oktober 2020 hingga 11 September tahun lalu di Bandar Country Homes, Rawang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pilihan itu dibuat selepas Jabatan Peguam Negara menerima representasi untuk mengurangkan pertuduhan asal di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, yang mendengar prosiding di kompleks mahkamah penjara itu, memerintahkan kesemua tertuduh lelaki menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan mereka antara 25 September hingga 12 Oktober tahun lalu.

Beliau turut memerintahkan isteri Nasiruddin, Azura Md Yusof dan lapan wanita lain menjalani hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Dalam penghakimannya, Latifah berkata mahkamah mengambil kira bahawa semua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan serta menunjukkan keinsafan dan penyesalan atas perbuatan mereka.

Tiga belas tertuduh lelaki ialah Nasiruddin, 66; Hasnan Abd Hamid, 54; Mokhtar Tajuddin, 62; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; dan Mohd Shukri Mohd Noor.

Turut disenaraikan ialah Mohamad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; dan Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35.

Sementara sembilan tertuduh wanita terdiri daripada Azura Md Yusof dan Siti Salmiah Ismail, masing-masing berusia 58 tahun, serta Nur Jannah Omar, 33; Nurul Jannah Idris, 29; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Siti Hajar Ismail, 52; dan Mahani Kasim, 55.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img