PEJABAT Ketua Pendakwa Raya Istanbul pada Jumaat telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan beberapa pegawai kanan Israel lain atas tuduhan melakukan genosid di Semenanjung Gaza.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Pendakwa Raya memaklumkan bahawa waran tangkap dikeluarkan terhadap 37 suspek, termasuk Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz. Mereka berdepan tuduhan genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Kenyataan itu menegaskan bahawa pihak berkuasa Israel didakwa melaksanakan tindakan genosid, melakukan serangan udara besar-besaran di Gaza, serta menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut.
Langkah ini diambil beberapa bulan selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 21 November 2024 mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Berikutan keputusan ICC itu, Netanyahu dan Gallant kini tidak boleh melawat mana-mana daripada 120 negara penandatangan Statut Rom, perjanjian yang menjadi asas kuasa ICC untuk menguatkuasakan tindakan undang-undang tersebut.
Keputusan terbaharu oleh pihak berkuasa Turki ini menyusul selepas gesaan oleh Pendakwa ICC Karim Khan pada pertengahan September agar mempercepatkan proses pengeluaran waran tangkap terhadap kedua-dua pemimpin Israel itu. Khan sebelum ini mendedahkan bahawa beliau berdepan tekanan daripada beberapa pemimpin dunia supaya tidak meneruskan permintaan tersebut.
Pejabat Pendakwa Raya Istanbul menggambarkan tindakan ini sebagai respons terhadap bukti yang semakin meningkat mengenai kekejaman besar-besaran di Gaza, di mana tentera Israel telah menjalankan pengeboman berat selama berbulan-bulan, mengorbankan puluhan ribu orang awam dan menyebabkan krisis kemanusiaan yang semakin parah.
Sementara itu Pihak berkuasa Gaza menyatakan bahawa lebih daripada 10,000 orang yang terkorban dalam serangan Israel masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Mereka menyeru masyarakat antarabangsa supaya membenarkan pasukan penyelamat antarabangsa khusus serta peralatan berat dibawa masuk ke Gaza bagi mengeluarkan mayat mangsa.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel telah membunuh seramai 68,875 orang dan mencederakan 170,679 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza.


