JIKA pada 6 September lalu, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-8 kecoh apabila beberapa kumpulan mencetuskan provokasi mendesak Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2025 hari ini di Shah Alam pula tegang apabila perwakilan mendesak usul berkaitan pemilihan parti dijadualkan tahun depan dibahaskan segera.
Pengerusi persidangan, Azhar Abd Shukur berulang kali menenangkan keadaan sebelum membenarkan dua perwakilan membentangkan cadangan masing-masing mengenai pemilihan parti.
Bagaimanapun, keadaan kembali tegang apabila adanya pandangan berbeza dengan mencadangkan agar pemilihan parti ditangguhkan selepas tahun 2026, manakala seorang lagi mahu ia diteruskan seperti yang dijadualkan.
“Kami mahu ia dibahaskan, bukan sekadar dicadangkan,” katanya lapor beberapa media.
Selepas keadaan kembali tenang persidangan diteruskan dengan usul lain yang telah diterima untuk dibahaskan.
Usul pertama yang dibincangkan selepas itu ialah cadangan menaikkan had umur sayap wanita muda Amanah daripada 35 kepada 40 tahun.
Media sebelum ini melaporkan Naib Presiden Amanah, Datuk Mohd Hatta Ramli, menjelaskan bahawa usul berhubung pemilihan parti tidak akan dibahaskan dalam konvensyen kali ini kerana ia dianggap terlalu awal serta tidak selaras dengan perlembagaan parti yang melarang sebarang keputusan dibuat sebelum waktunya.


