DUA kontraktor wanita masing-masing didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan hari ini kerana menyamar sebagai pegawai polis dengan menipu wanita bagi penyelesaian saman kemalangan bulan lalu.
Majistret Ellyna Othman menjatuhkan hukuman tersebut selepas Nor Farahanis Mohammad Hanizam, 31, dan Noor Afiqah Aman Shah, 37, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menipu wanita berusia 53 tahun dengan menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa boleh membantunya menyelesaikan saman trafik hingga mendorong mangsa membayar RM400 dan RM250 untuk penyelesaian saman kemalangan anaknya.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 8.11 pagi 3 Oktober lalu dan 9.39 pagi 10 Oktober lalu di Taman Balok Permai dan kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Ahmad Mokhlis, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Farah Atiqah Asruddin dan Mohd Azahari Matiasin.
Sementara itu, di mahkamah berasingan kedua-dua wanita itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menyamar sebagai pegawai polis dengan menipu seorang lelaki berusia 22 tahun yang membayar RM1,749 berkaitan penyelesaian kes khalwat antara Julai dan September lalu.
Pengakuan tersebut dibuat di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nabilla Huda Jasmani, manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Syafiqa Syeba Atan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 setiap seorang dan menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes.


