Inspektor Sheila mengaku tidak bersalah halang tugas anggota polis

SEORANG pegawai polis wanita yang kini digantung kerja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis di ibu negara, minggu lalu.

Sheila Sharon Steven Kumar, 37, atau dikenali sebagai Inspektor Sheila membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sengaja menghalang seorang anggota polis, Lans Koperal Malvinderjit Singh Teerath Singh, 37, dari Balai Polis Chow Kit dalam menjalankan tugasnya iaitu rondaan pencegahan jenayah di hadapan sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah, Dang Wangi, Kuala Lumpur antara jam 8.15 hingga 8.30 malam 4 November lalu.

Sheila Sharon yang memakai baju blaus dan skirt berwarna merah jambu dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam M Manoharan yang mewakili Sheila Sharon membantah permohonan pendakwaan dengan alasan kadar itu terlalu tinggi.

Menurutnya, bapa Sheila Sharon yang juga seorang pesara polis berpangkat Asisten Superintenden hadir untuk menjaminnya.

“Dia perlu menyara tujuh anak, maka ikat jamin yang tinggi akan membebankan mereka sekeluarga.

“Buat masa ini, dia mempunyai tiga kes lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Selayang, malah Sheila Sharon sentiasa hadir dalam prosiding kes berkenaan sejak 2023 lalu,” katanya yang memohon Sheila Sharon diberi jaminan sebanyak RM500 sahaja.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Aina Azahra membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Januari tahun depan.

Minggu lalu, tular video yang dimuat naik wanita berkenaan dalam laman sosial mendakwa anggota polis terbabit mengugut seorang warga Pakistan ketika menahan dan memeriksa warga asing berkenaan.

Sheila Sharon telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berhubung beberapa kes lampau termasuk menghina anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img