Dr.Maimunah dilantik  Penasihat Hartanah Petronas, akhiri tugas sebagai Datuk Bandar KL esok

PETRONAS hari ini mengumumkan pelantikan seorang tokoh perancang bandar terkemuka di peringkat global, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, sebagai Penasihat Hartanah baharunya berkuat kuasa pada 17 November 2025.

Langkah ini dilihat sebagai isyarat jelas keseriusan gergasi minyak dan gas itu untuk memacu fasa pertumbuhan seterusnya bagi portfolio hartanahnya.

Pelantikan tokoh berkaliber antarabangsa ini menandakan skala projek yang bakal dipacu adalah besar dan berimpak tinggi.

Fokus utama pelantikan ini adalah untuk beliau memberi panduan terutamanya berkaitan pembangunan tanah di Sungai Besi, yang dikenali sebagai Kota Madani. Beliau juga akan menasihati pembangunan hartanah syarikat yang lain.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan PETRONAS, Maimunah akan membimbing syarikat itu dalam membentuk fasa pertumbuhan baharu portfolio hartanahnya.

Pemilihan Maimunah signifikan memandangkan beliau ialah seorang pemimpin yang dihormati di peringkat global. Beliau juga adalah seorang teknokrat bertauliah dengan pengalaman luas.

“Kepakaran teras beliau selama lebih 40 tahun adalah dalam bidang pembangunan bandar mapan,” kata PETRONAS.

Ini memberi petunjuk bahawa pembangunan projek seperti Kota Madani akan menerapkan elemen kemampanan bertaraf dunia.

Dalam kerjaya cemerlang beliau di peringkat antarabangsa, beliau telah melakar sejarah sebagai wanita Asia pertama yang dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung Rendah PBB.

Beliau juga ialah Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat).

“Pihak Pengurusan PETRONAS mengalu-alukan penyertaan Datuk Seri Dr Maimunah. PETRONAS yakin bahawa pengetahuan serta pengalaman luas beliau akan menjadi satu penambahan nilai yang amat berharga kepada syarikat itu,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Maimunah turut pernah berkhidmat sebagai Pemangku Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Nairobi.

Di peringkat domestik, pengalaman beliau juga amat luas. Beliau menamatkan perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur esok.

Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan penting lain, termasuk menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Seberang Prai. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Pulau Pinang.

Pengiktirafan terhadap kepakaran beliau terbukti apabila beliau baru-baru ini menerima Anugerah Kepimpinan di World Smart City Awards (Barcelona).

Beliau turut menerima Anugerah Kepimpinan Terbaik (Kategori Bandar) daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

SEMENTARA itu, tempoh  perkhidmatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Dr. Maimunah Sharif berakhir esok berbanding tarikh asal 16 Ogos tahun depan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Katanya, keputusan itu yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dibuat bagi memberi ruang kepada Maimunah dilantik ke sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi yang diberi peranan bangunkan mercu tanda baharu di ibu negara.

“Keputusan ini mengambil kira keperluan perkhidmatan, kepakaran dan pengalaman beliau dalam perancangan bandar berteraskan pembangunan lestari terutama ketika menerajui UN-Habitat sebagai pengarah eksekutif,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr.Maimunah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada Ogos tahun lalu, menjadikannya wanita pertama memegang jawatan itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img