GENTING Malaysia Berhad (Genting Malaysia) mengesahkan bakal mengenakan caj tol bagi kenderaan yang menggunakan Jalan Genting Highland tidak lama lagi.
Perkara ini dimaklumkan menerusi kenyataan yang dihantar menerusi akaun Facebook rasminya Resorts World Genting.
Menurut kenyataan itu, langkah mengenakan caj ini adalah perlu kerana jalan mendaki bukit sepanjang 24 km berkenaan merupakan jalan persendirian dan kos bagi menyelenggaranya kini semakin tinggi. Genting Malaysia juga menyatakan bahawa kos untuk menyelenggara jalan tersebut telah dibiayai sendiri oleh syarikat itu sejak tahun 1960-an.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa penggunaan yang sangat kerap telah menyebabkan Jalan Genting Highland memerlukan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Ini adalah inisiatif swasta di atas jalan persendirian di atas tanah persendirian. Genting Malaysia mengambil tanggungjawab untuk menjaga keselamatan jalan raya dan cerun dengan serius,” katanya.


