MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kadar gaji bukanlah satu-satunya sebab yang mendorong seseorang penguatkuasa melakukan rasuah.
Tanpa menafikan ia juga satu faktor namun kata beliau usaha membasmi rasuah memerlukan keseimbangan antara kebajikan pekerja, tatakelola yang baik dan kejujuran peribadi.
“Sebab kalau nak kata upah kecil yang mendorong rasuah, ‘datuk-datuk’ yang hebat pun rasuah juga. Dah kaya pun masih lagi melakukan perbuatan itu,” katanya dalam wawancara bersama Bernama.
Bagaimanapun kata beliau, antara langkah awal Kerajaan Madani untuk menangani gelaja tersebut ialah dengan melakukan semakan struktur gaji penjawat awam, terutamanya bagi kumpulan berpendapatan kecil.
“Usaha membasmi rasuah memerlukan keseimbangan antara kebajikan pekerja, tatakelola yang baik dan kejujuran peribadi,” katanya dan menambah bahawa akhirnya, ia bergantung kepada keperibadian individu itu sendiri.
Dalam wawancara itu juga Saifuddin berkata, KDN mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap isu salah guna kuasa di pintu masuk utama negara seperti kegiatan counter setting dan “pasport terbang” yang mencemarkan imej Malaysia.
Beliau menegaskan sebarang amalan yang melanggar integriti tidak boleh dikompromi sama sekali, kerana ia melibatkan keselamatan, reputasi dan nama baik negara.
“Saya bertekad untuk melawan habis-habisan isu integriti, soal counter setting. Isu ini membuatkan terpalit wajah hodoh kepada KDN dan tidak adil kepada petugas lain yang bekerja dengan tekun dan baik,” katanya.
Sindiket counter setting merujuk kepada rangkaian terancang yang melibatkan pegawai penguat kuasa di pusat pemeriksaan imigresen yang menerima rasuah, untuk memudahkan kemasukan warga asing secara haram dengan mengelak prosedur dan pemeriksaan standard.
Serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar skala rangkaian itu, melibatkan pelbagai tangkapan berprofil tinggi yang mendedahkan penglibatan mendalam pegawai penguat kuasa.
Pada September tahun ini, SPRM menahan 27 individu termasuk 18 pegawai yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu di beberapa negeri, merampas wang tunai lebih RM200,000, barangan mewah dan membekukan akaun bank bernilai lebih RM1 juta.
Dalam usaha membanteras kegiatan itu, Saifuddin Nasution berkata, tumpuan KDN kini ialah memastikan sistem kawalan di pintu masuk utama negara beroperasi dengan lebih cekap, terutamanya di dua lokasi utama yang mencatatkan pergerakan tertinggi.
“Dua pintu masuk yang menjadi tumpuan dan mewakili 75 peratus daripada kemasukan pengembara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA 2, serta Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Tambak Johor,” katanya.
“Sistem Imigresen sedia ada (MyIMMS) telah berusia 20 tahun. Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah memuktamadkan perolehan untuk Sistem Bersepadu Imigresen Kebangsaan (NIIS) yang kini sedang dilaksanakan secara berperingkat di KLIA dan Johor,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, sistem NIIS kini dalam pelaksanaan dan dijangka akan lebih stabil menjelang suku pertama atau kedua tahun hadapan, sekali gus menjadi pemboleh ubah utama kepada KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Dengan ini, kita boleh tangani isu counter setting. Bila kita guna pakai kaedah auto gate dengan teknologi yang lebih canggih, tak ada lagi urusan melibatkan pegawai secara fizikal. Itu boleh mengurangkan (isu integriti),” katanya.
Beliau turut menggesa agensi kawal selia termasuk SPRM untuk mengambil tindakan pemantauan dan penguatkuasaan segera, bagi membanteras kegiatan tersebut daripada terus berleluasa.


