SEORANG penganggur merayu kepada hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru bahawa ini adalah kesalahan terakhir dilakukannya selepas didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, minggu lalu.
“Saya mohon puan (hakim) ampunkan dosa saya, ini ‘last’ (terakhir),” kata tertuduh, Hishamudin Kumaran Abdullah, 54, selepas mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan di sebuah surau dekat Pontian, kira-kira jam 7.40 malam pada 8 November lalu, lapor Harian Metro.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh walaupun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan lelaki itu diikat jamin atau tidak.
Beliau berhujah, pendakwaan mempunyai bukti untuk menuduh tertuduh dan pertuduhan ke atas tertuduh juga mempunyai asas berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan yang menunjukkan keberadaan tertuduh dan mangsa di lokasi kejadian ketika kejadian berlaku.
“Pertuduhan ini juga membabitkan kanak-kanak dan ia adalah satu kesalahan yang serius dengan hukuman penjara juga tidak melebihi 20 tahun.
“Tertuduh juga bukan pesalah kali pertama dan mempunyai rekod lampau dalam pelbagai kesalahan jenayah sejak 1993 hingga 2008 dengan dua kes di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan sudah dijatuhkan hukuman iaitu turut membabitkan kesalahan cabul kehormatan dan kes gangguan seksual.
“Terdapat risiko untuk tertuduh melakukan kesalahan sama atau mengulangi perbuatannya kepada orang awam lain jika dia dilepaskan dengan jaminan,” katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika diminta membuat rayuan jaminan berkata, dia tidak mempunyai sesiapa dan hidup susah.
“Semua dah buang saya. Saya duduk surau atau masjid, saya pergi dakwah, saya sembahyang kuat. Saya tak ada kerja.
“Sekarang saya OKU (orang kurang upaya), mata sebelah tak nampak, kaki pun cacat, tak tahu mana nak duduk, sebab itu saya jadi macam ini,” katanya.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Januari tahun depan bagi serahan dokumen.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat oleh bapa kanak-kanak berkenaan berhubung satu kejadian amang seksual fizikal.
“Pengadu mendakwa didatangi imam surau yang memaklumkan ketika anaknya sedang menunggu solat Isyak, kanak-kanak itu didekati seorang lelaki tidak dikenali yang juga jemaah surau berkenaan.
“Lelaki itu dikatakan mencabul kanak-kanak berkenaan dan kemudian pihak surau melihat CCTV bagi kepastian.
“Hasil siasatan mendapati lelaki itu telah memberikan wang RM10 kepada mangsa sebelum melakukan itu.
“Mangsa yang takut kemudian memaklumkan kepada imam surau dan kemudian kita menahan lelaki yang mempunyai lebih 10 rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan itu,” katanya.


