KEGEMBIRAAN sekumpulan 26 orang penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail di Batu Rakit, Kuala Nerus berkelah ketika menyertai program kelas berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan mati lemas di Sungai Pelong, Setiu, Terengganu hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.15 pagi berhampiran Sungai Dusun Warisan Pelong.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kedua-dua mangsa yang terlibat ialah Adam Arief Jazlansanadi, 19, berasal dari Kuala Lumpur dan Muhammad Hazmi Othman, 19, dari Sungai Petani, Kedah.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal, kejadian berlaku apabila mangsa pertama (Adam Arief) dipercayai tergelincir dan berpaut pada rakannya.
“Mangsa kedua iaitu Muhammad Hazmi dipercayai terjun ke dalam air untuk menyelamatkan rakannya namun dia juga turut lemas,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.
Mohd Zain berkata, hasil keterangan beberapa rakan mangsa, sekumpulan 26 orang penuntut IPG berkenaan pergi ke Sungai Dusun Warisan Pelong untuk Program Kelas IPG Batu Rakit.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika mereka sedang mandi di mana Adam Arief yang duduk di atas batu di tepi tebing tergelincir dan cuba diselamatkan rakannya tetapi gagal.
“Muhammad Hazmi dipercayai terjun untuk menyelamatkan Adam Arief yang dihanyutkan air tetapi gagal kerana air berpusar,” katanya lagi.
Mayat Muhammad Hazmi dijumpai tidak lama selepas kejadian itu dan selang 50 minit kemudian, mayat Adam Aried ditemukan hasil bantuan orang kampung kira-kira jam 12.05 tengah hari.
Kedua-dua mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Setiu untuk proses bedah siasat.


