36 akaun bank RM3.1 juta berkait siasatan rasuah RTK akan dibeku – SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon pembekuan 36 akaun bank bernilai lebih RM3.1 juta susulan siasatan rasuah membabitkan permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Tindakan itu diambil selepas Bahagian Perisikan SPRM menahan 10 pegawai sebuah agensi penguat kuasa serta seorang pesara agensi itu menerusi Op Bleach pada 12 November lalu.

Tangkapan terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita berusia antara 30 hingga 50-an yang dipercayai menerima wang bagi mempercepat permohonan pendatang asing di bawah program berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, wang diterima dipercayai sebagai bayaran untuk mempercepat proses permohonan RTK dengan anggaran kutipan sekitar RM600 setiap pekerja asing.

Pembekuan akaun itu membabitkan nilai keseluruhan RM3,121,813.10 selain rampasan empat kereta, lima motosikal, dua jongkong emas seberat 0.3 gram bernilai kira kira RM150, empat utas barang kemas dianggarkan RM7,000 serta wang tunai RM116,702.

“Individu yang disiasat berada dalam gred KP19 hingga KP38 dan difahamkan bayaran diberi sebagai balasan bagi mendapatkan kelulusan lebih cepat,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.

Azam berkata, semua tujuh individu yang direman sebelum ini dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh tahanan tamat.

Setakat ini tiada tangkapan baharu dan tujuh saksi sudah dipanggil untuk merakam percakapan.

“Pasukan penyiasat sedang meneliti aliran kewangan serta dokumen berkaitan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Op Bleach adalah operasi susulan terhadap kegiatan sindiket yang mempercepat urusan permohonan pekerja asing dan mempunyai kaitan dengan operasi terdahulu berkait sindiket ‘counter setting‘ menerusi Op Rentas dan Op Dygo.

Menurut sumber, semua 11 suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach dijalankan Bahagian Perisikan SPRM 12 November lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img