OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi bot karam berhampiran perairan Malaysia-Thailand yang memasuki hari ketujuh hari ini menemukan satu lagi mayat mangsa.
Penemuan tersebut menjadikan jumlah korban di perairan Malaysia meningkat kepada 29 orang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat lelaki yang terdampar di Pulau Singa Besar pagi ini.
“Susulan laporan itu, sebuah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah digerakkan ke lokasi bagi mengambil mayat berkenaan sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, operasi SAR akan diteruskan sehingga keseluruhan zon pencarian diliputi sepenuhnya meskipun berdepan cabaran cuaca dan laut bergelora.
“Kami mengutamakan keselamatan anggota yang bertugas, namun usaha mencari mangsa tidak akan dikompromi,” tegasnya.
Kawasan pencarian pada hari ini meliputi kawasan seluas 33.86 batu nautika persegi melibatkan aset daripada Maritim Malaysia, Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), manakala beberapa agensi lain berada dalam keadaan bersiap sedia.
Cuaca dilaporkan tidak menentu dengan angin berkelajuan antara 30 hingga 40 kilometer sejam serta ombak setinggi 1.5 hingga 2.5 meter, selain ribut petir di beberapa sektor pencarian.
Sejak hari pertama operasi, pasukan SAR telah meliputi kawasan seluas 1,355.13 batu nautika persegi melibatkan enam agensi utama termasuk JBPM, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Perikanan.


