SEORANG peniaga pakaian terpakai mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap anak kandungnya yang berusia 18 tahun, di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini.
Tertuduh yang berusia 49 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.
Dia yang merupakan bapa kepada lima orang anak didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Kubang Pasu, Jitra pada jam 9 pagi, 30 Oktober lalu, lapor Astro Awani.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan terlarang dari segi agama dan undang-undang terhadap mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfatin Mastura Asri mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 8 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.


