POLIS menahan seorang lelaki warga Nepal yang disyaki melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kucing di sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, di Shah Alam pada Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Embol berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.30 tengah malam Sabtu daripada penghuni pangsapuri berkenaan.
“Siasatan mendapati, pengadu bersama suaminya yang baru tiba di kediaman mereka melihat dari dalam kereta seorang lelaki dalam keadaan bogel dipercayai sedang meliwat seekor kucing.
“Suami pengadu kemudian naik ke aras empat untuk menegur perbuatan itu sebelum suspek mencampakkan kucing itu ke bawah dan melarikan diri. Pengadu turut merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbitnya.
“Bertindak atas maklumat, pada jam 4.45 pagi polis menahan seorang lelaki warganegara Nepal berumur 33 tahun yang dipercayai suspek kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Ramsay berkata, suspek yang berkerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri terbabit direman lima hari sehingga 19 November bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati, setakat ini, suspek tiada sebarang masalah mental tetapi di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan kesalahan iaitu persetubuhan luar tabii dengan haiwan dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pada masa sama katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohamad Zulkifli Mohamad di talian 011-1695 8529.


