AAPAKAH MIC akan meninggalkan Barisan Nasional? Itulah persoalan yang timbul apabila Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran meminta ahli parti itu untuk berbincang dan membuat keputusan sama ada mahu keluar daripada gabungan tersebut atau tidak Perhimpunan Agung Tahunan parti berkenaan hari ini di Shah Alam, hari ini.
Ketika mengajukan pilihan itu kepada perwakilan MIC, beliau berkata, parti itu perlu membuat keputusan penting tersebut kerana tidak lagi dihormati sebagai salah sebuah komponen dalam BN, tidak kira sebagai adik-beradik mahupun rakan sekutu.
Vigneswaran turut berpendapat bahawa sekiranya MIC ingin bangkit bermaruah, parti tersebut mesti memperbaharui perjuangan bermula daripada golongan belia.
“Mengapa yang lain telah meninggalkan BN, tetapi kita masih bersama mereka dan dalam hati kita, bolehkah MIC benar-benar berjaya membawa BN hari ini mencerminkan perikatan yang asal?
“Bukan Perikatan pada nama, tetapi Perikatan berdasarkan tujuan, kepercayaan dan kerjasama tulen yang membina negara ini.
“Jika ini ketentuan takdir, maka kita bukan melarikan diri daripada sejarah, sebaliknya kembali kepada sejarah. Cerita MIC hari ini bukan penamat, tapi permulaan,” katanya ketika berucap di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) .
Beliau menegaskan, walaupun MIC kekal teguh bersama Barisan Nasional (BN) N, beliau berkata parti itu tidak diberikan penghormatan diharapkan, terutamanya dalam keputusan BN bekerjasama dengan PH dan gabungan lain bagi membentuk kerajaan perpaduan.
Sehubungan itu Vigneswaran menyalahkan Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana gagal mempertahankan kepentingan MIC dan berkata ia membawa kepada pengabaian berterusan terhadap parti itu dalam kerajaan hari ini.
“Harus ditekankan disini bahawasanya keputusan untuk mengadakan kerjasama dengan PH dibuat semata-mata demi kelangsungan UMNO, bukan demi masa depan kolektif gabungan atau rakan-rakannya.
“Tiada kepimpinan yang bijak akan mengambil keputusan yang tidak popular dalam gabungan dan mendedahkan rakan-rakan kepada risiko, melainkan ia didorong oleh keterdesakan sendiri.
“Namun begitu, kesannya cukup jelas hakikat bahawa MIC, tiada menteri, tiada wakil dalam GLC, tiada pelantikan signifikan, adalah atas tindakan pengerusi BN yang gagal mempertahankan kepentingan MIC,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan, banyak keputusan penting BN dibuat secara bersendiri oleh UMNO tanpa berunding dengan parti komponen lain.
Katanya, keputusan membubarkan Parlimen pada 2022 bagi membuka laluan kepada PRU15 antara contoh disebutnya, tanpa sebarang konsensus dicapai dalam kalangan komponen BN.
“Kita sepatutnya ada satu tahun lagi untuk membina semula, satu tahun lagi untuk bersiap sedia, satu tahun lagi untuk mengingatkan rakyat bahawa MIC masih berdiri bersama mereka.
“Tetapi, kita menerima keputusan itu kerana kita sebahagian gabungan. Dan jangan kita sekali-kali lupa, pada masa itu, reputasi BN berada pada tahap paling rendah dalam sejarah gabungan ini,’’ katanya.
Dalam ucapan itu juga beliau secara terbuka membidas sikap hipokrasi atas kritikan dilemparkan terhadap parti itu apabila mula meneroka pakatan di luar BN terutamanya dengan Pas.
Beliau menegaskan PKR dan DAP pernah bekerjasama dengan Pas di bawah Pakatan Rakyat (PR) yang kini bubar, manakala UMNOmembentuk Muafakat Nasional (MN) dengan Pas, yang kemudiannya turut gagal.
“Apabila PR ingin bekerjasama dengan Pas, ia dipuji sebagai ‘reformasi’. Apabila UMNO bekerjasama dengan Pas, ia disebut sebagai ‘penyatuan ummah’.
“Tetapi, apabila MIC hanya mempertimbangkan untuk berhubung dengan Pas, tiba-tiba ia menjadi isu. Tiba-tiba ia tidak dapat diterima. Tiba-tiba MIC diminta untuk berdiam dan terkurung dalam batas politik ditetapkan orang lain. Ini adalah dwistandard yang mesti kita hadapi,” katanya


