Polis berkas dua suspek curi kabel selepas kereta dinaiki terlanggar pokok

POLIS berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam jenayah curi kabel selepas menahan sebuah kereta dinaiki mereka yang melarikan diri terbabas di Kampung Kondok dekat Nilai, Negeri Sembilan semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an yang menaiki kereta Honda Civic FD bersama tiga lagi rakan akhirnya terbabas dan melanggar pokok selepas dikejar kereta peronda polis kira-kira sejam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan peronda polis (MPV) dari Balai Rahang melakukan tugasan.

“Ketika melalui Jalan Seremban-Tampin berhampiran kawasan Industri Senawang, anggota cuba menahan sebuah kereta jenis Honda Civic FD warna kelabu yang mencurigakan.

“Suspek bagaimanapun melarikan diri melalui Plaza Tol Senawang ke Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) menghala ke utara sebelum keluar di Plaza Tol Seremban Labu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, ketika suspek keluar dari Tol Seremban Labu, kereta itu berlanggar dengan sebuah kenderaan orang awam sebelum ia terbabas dan terkena MPV yang mengejar mereka di bahagian hadapan kiri menyebabkan mengalami sedikit kerosakan.

“Seterusnya suspek menghala ke S2 Heights dan masuk ke Jalan Labu. Apabila sampai berhampiran Kampung Kondok, jam 2.30 petang kenderaan suspek terbabas dan dikatakan melanggar pokok.

“Lima suspek dilihat keluar daripada kenderaan itu dan cuba melarikan diri, namun polis berjaya menahan dua daripadanya. Pemeriksaan tubuh badan dilakukan, tetapi tiada menjumpai barang salah.

“Pemeriksaan kenderaan suspek menjumpai pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel antaranya, pemotong kabel, tukul, kuku kambing dan baju biru oren tertulis TM selain wayar tembaga yang siap dibakar,” katanya.

Jelas beliau, semakan terhadap identiti kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 25 dan 35 rekod jenayah selain didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati suspek sudah lama bergiat aktif mencuri kabel di sekitar Seremban dan Lembah Klang. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 dan 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img