Perwakilan MIC serah kepada Presiden, CWC tentukan kedudukan dalam BN

WALAUPUN sudah ada riak-riak bahawa MIC akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) namun Konvensyen tahunan MIC hari ini memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN, dan menyerahkan kepada Presiden parti Tan Sri SA Vigneswaran serta jawatankuasa kerja pusatnya (CWC) membuat keputusan.

Terdahulu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan membentangkan tiga usul, termasuk keluar daripada BN dan memohon secara rasmi untuk menyertai gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN).

Walaupun usul-usul tersebut dibahas perwakilan namun, tiada undian dijalankan kerana konvensyen bersetuju untuk menyerahkan keputusan itu kepada Vigneswaran dan kepimpinan tertinggi MIC.

Bercakap kepada wartawan selepas konvensyen itu, Vigneswaran menolak kemungkinan parti itu bergerak solo dan  menegaskan bahawa MIC mesti menyertai gabungan politik lain jika memutuskan keluar BN.

Bagaimanapun, beliau berkata, mempertahankan pendirian bahawa MIC hanya akan membuat keputusan mengenai gabungan baharu yang akan disertai selepas parti itu memuktamadkan langkah keluar dari BN, sebuah gabungan yang diasaskannya bersama UMNO dan MCA lebih lima dekad lalu.

Kata beliau,  CWC parti akan membuat keputusan muktamad berhubung kedudukan dalam BN ‘dalam masa terdekat’.

“Paling penting, kami dalam dilema kerana Perdana Menteri sendiri tidak salah (berhubung perkara ini). Jadi, pendirian kami teguh sokong beliau bagi tempoh dua tahun lagi.

“Kami telah beri jaminan sebelum ini kami akan sokong Anwar sehingga akhir penggalnya. Keputusan itu masih terpakai,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, perwakilan MIC hari ini sebulat suara meluluskan dua resolusi, iaitu untuk meninggalkan BN, tetapi menyerahkan keputusan muktamad kepada CWC dan Pesiden parti.

“Kami bukan main politik … cuma sudah bosan (tentang kedudukan dalam BN). Keputusan ini dibuat untuk pastikan sebarang formula perkongsian kuasa mesti berlandaskan prinsip maruah,” katanya.

Vigneswaran berkata, beliau sendiri telah membincangkan perkara tersebut dengan Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, Jumaat lepas.

“Saya telah bercakap dengan beliau, bukan untuk runding soal kerusi tetapi untuk maklumkan hasrat kami meninggalkan BN. Beliau nasihati saya agar pertimbang semula (keputusan) kerana kami sudah lama dalam BN,” kata bekas speaker Dewan Negara itu.

Bagaimanapun, katanya, Pengerusi BN Zahid Hamidi masih belum dimaklumkan tentang perkara itu kerana MIC menganggapnya sebagai urusan dalaman parti.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa wakil rakyat MIC akan dapat mengekalkan kerusi mereka jika parti itu keluar dari BN, memandangkan akta antilompat parti hanya terpakai bagi individu yang bertukar parti, bukannya parti politik beralih sokongan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img