SESUNGGUHNYA Allah SWT menunjukkan betapa tinggi ihsan rakyat Malaysia apabila melalui sumbangan yang diberikan misi membawa pulang jemaah haji Malaysia Asmah Mansor, 71, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Saudi German Hospital di Makkah akibat pneumonia sejak 13 September lalu kini dimulakan setelah jumlah diterima mencukupi.
Melalui catatan dalam Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang memainkan peranan penting untuk misi itu berkata, setakat 11 pagi hari ini Tabung Musa’adah JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia yang dilancarkan telah berjaya mengumpul sumbangan RM372,222.66 dan ditutup serta merta daripada menerima kutipan.
Baki bagi mencukupkan RM500,000 yang diperlukan bagi menampung kos akan disumbangkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Saya telah mengarahkan TH menguruskan segala proses berkaitan bagi membawa pulang Hajah Asmah secepat mungkin, mengikut prosedur serta bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta Kedutaan Malaysia di Arab Saudi,” katanya.
Mohd Na’im juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, badan korporat, pertubuhan, serta dermawan yang tampil menyumbang dalam tempoh yang singkat.
‘’Kesatuan serta sifat ihsan rakyat Malaysia telah menterjemahkan semangat perpaduan Malaysia Madani.
“Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan para penyumbang dengan ganjaran yang berlipat ganda dan asbab memudahkan usaha membawa pulang jemaah haji tahun 1446H terakhir itu yang masih berada di Hospital di Makkah,” katanya.


