Dua lagi pemimpin Bersatu bahagian dipecat

*Muhyiddin bertemu ahli Parlimen Bersatu malam esok*

KETIKA jentera Perikatan Nasional (PN) termasuk Bersatu sedang berhempas pulas di Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu pada 29 November ini, di Semenanjung dua lagi pemimpin bahagian Bersatu dipecat oleh Lembaga Disiplin parti tersebut.

Berdasarkan notis yang ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, dua pemimpin yang dipecat berkuatkuasa hari ini ialah Mohd Shukor Mustafa dari bahagian Puchong dan Datuk  Suhaimi Mohd Ghazali.

Kedua-dua mereka didapati bersalah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, mengikut surat makluman yang tular.

Dalam amaran baru-baru ini oleh Setiausaha Agung Bersatu, dijelaskan bahawa Fasal 9.1.4 “secara khusus mewajibkan ahli untuk mematuhi perlembagaan parti serta peraturan kod etika dan tatakelakuan ahli parti.”

Tindakan disiplin (pemecatan / penggantungan) telah diambil terhadap beberapa ahli, dengan alasan melanggar Fasal 9.1.4 + Kod Etika & Tatakelakuan Parti.

Pada 14 Oktober lalu, Bersatu turut memecat  Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan  empat lagi iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fahdli Ismail dan Mohd Isa Mohd Saidi.

Selain itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fasyhal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian sepenggal.

Tindakan pemecatan terbaru tersebut dijangka memburukkan lagi keadaan dalam Bersatu yang kini berhadapan dengan perpecahan berikutan isu pencalonan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Bersatu.

Isu itu turut mencemarkan perhimpunan agung parti tersebut pada bulan lalu, apabila terdapat desakan supaya Ahli Parlimen Pagoh tersebut melakukan peralihan kuasa bagi membolehkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengepalai PN dan Bersatu menghadapi PRU-16.

Ketika ini Bersatu dikatakan berada dalam ‘fasa gencatan senjata’ bagi menghadapi PRN Sabah, bagaimanapun tindakan memecat Shukor  dan Suhaimi menimbulkan persoalan apa sebenarnya berlaku dalam parti tersebut.

Malah terdapat juga cakap-cakap, Hamzah dijangka dipanggil oleh Lembaga Disiplin selepas PRN Sabah berakhir .

Sementara itu, Muhyiddin dikhabarkan akan mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Bersatu yang ketika ini sebahagian mereka sedang sibuk membantu kempen PN di Sabah malam esok.

Bagaimanapun setakat ini agenda pertemuan tersebut tidak diketahui memandangkan tumpuan penuh ahli-ahli Parlimen berkenaan ialah memastikan PN kembali menawan Sabah dan bukannya urusan dalaman parti memandangkan Bersatu kini dalam ‘gencatan senjata’ – mengelakkan sebarang ketegangan yang boleh gugat peluang PN di Sabah.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img