Dakwaan wanita warga Belgium terkena peluru sesat disiasat

POLIS sedang menyiasat kes seorang wanita warga Belgium yang mendakwa mengalami kecederaan akibat terkena peluru sesat ketika berada di rumahnya di sebuah kondominium di Batu Ferringhi, Pulau Pinang pada Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, wanita berusia 67 tahun itu yang merupakan pemegang visa Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) mendakwa dia berada dalam rumahnya dan terdengar bunyi letupan sebelum mengalami kecederaan dalam kejadian pada jam 5.35 pagi.

“Wanita itu tinggal bersama anaknya telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta dan ditahan di wad selama sehari sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 11.39 pagi semalam.

“Hasil siasatan di tempat kejadian oleh pasukan siasatan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah menemukan titisan darah dipercayai milik wanita terbabit dalam sebuah bilik di kondominium tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Menurutnya, polis bagaimanapun tidak menemukan sebarang kelongsong peluru atau kesan tembakan dalam rumahnya.

Azizee berkata, menurut kenyataan doktor yang melakukan rawatan mendapati wanita itu mengalami kecederaan luka melecet pada bahagian atas kening mata dan kecederaan itu dipercayai disebabkan oleh objek tumpul serta tiada sebarang luka tembakan dikesan pada mana-mana bahagian tubuh mangsa.

Beliau berkata, hasil siasatan awal pihak polis juga mendapati terdapat beberapa aspek keterangan yang tidak konsisten diberikan oleh wanita itu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menyebabkan kecederaan pada tubuhnya.

“Polis menjalankan siasatan kes itu di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan dengan senjata api tanpa alasan yang sah,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img