`Kami terkandas, bekalan makanan semakin berkurangan’ – pelajar UUM terperangkap di Hatyai

“KAMI kini berdepan dengan cabaran kekurangan bekalan makanan, bekalan elektrik dan air juga sudah terputus sejak pagi dan malam tadi.”

Itu keluhan Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi, salah seorang daripada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas akibat banjir di Hatyai kerana menyertai program pertukaran pelajar di bandar selatan Thailand itu.

Menerusi perkongsiannya dalam media sosial pukul 9.35 malam tadi, kumpulan 40 orang terdiri daripada 36 pelajar dan empat pensyarah univiersiti itu berdepan kekurangan bekalan makanan, ketiadaan elektrik serta bekalan air yang terputus akibat bencana banjir yang melanda selatan Thailand.

Mereka yang menginap di Wangburapa Grand Hotel, Hatyai, dilapor mula terjejas selepas banjir kilat melanda kawasan itu sehingga menyebabkan arus deras menenggelamkan jalan sekitar hotel sehingga melebihi paras kenderaan jenis pacuan empat roda.

Menurut Mimi Nadzirah Afiqah, bekalan elektrik terputus sejak awal pagi, diikuti bekalan air pada waktu malam.

“Makanan berat langsung tiada, kami hanya bergantung pada roti yang sangat-sangat terhad.

“Talian telefon pun tak stabil, susah nak berhubung… kami sangat berharap ada bantuan yang boleh disalurkan, terutamanya bekalan makanan.

“Kami belum dapat apa-apa bantuan bekalan makanan dari mana-mana pihak, hanya bergantung pada bekalan makanan yang sedia ada sekarang yang sangat terhad,” katanya.

Dia turut memaklumkan banjir sudah memasuki tingkat bawah hotel, namun mereka masih selamat kerana berada di tingkat lima.

Bagaimanapun, katanya hujan yang masih berterusan menyebabkan paras air terus meningkat dan menyukarkan pergerakan keluar-masuk.

“Kawasan luar hotel dan sekitar, termasuk jalan raya memang air naik. Kenderaan pacuan empat roda pun dah tak boleh lalu di kawasan hotel ni sebab air memang dah tinggi, melebihi kapasiti trak,” katanya.

Semalam, media melaporkan pelajar dan pensyarah dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang menyertai Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 terkandas selepas banjir melanda lokasi pelancongan popular itu.

Mimi Nadzirah Afiqah berkata, amaran kecemasan turut diterima secara berterusan di telefon masing-masing, menandakan keadaan banjir masih belum menunjukkan tanda untuk surut.

“Air makin naik, arus kuat. Pelajar dan staf masih terkawal, tapi sumber kami sangat-sangat terhad,” katanya ketika berhubung dengan pihak UUM pagi ini.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img