Eze ‘mengganas’ lakukan hatrik pertama bantu Arsenal benamkan Spurs

EBERECHI Eze menjaringkan hatrik pertama dalam sejarah derby London Utara Liga Perdana ketika Arsenal membelasah Tottenham Spurs 4-1 untuk melebarkan jurang kepada enam mata di persada liga.

Eze sebelum ini mengakui bahawa beliau menolak minat daripada Spurs sebelum berpindah dari Crystal Palace ke Stadium Emirates pada Ogos.

Leandro Trossard membuka tirai jaringan Arsenal pada minit ke-36 selepas mereka mengasak Spurs sejak awal permainan. Penyerang sementara, Mikel Merino, melakukan hantaran cantik kepada Trossard, dan selepas sentuhan pertama yang kemas, pemain Belgium itu melihat rembatan rendahnya melantun masuk terkena Micky van de Ven.

Eze kemudian mencuri tumpuan, menggandakan kelebihan Arsenal lima minit kemudian dengan bantuan satu lagi defleksi kecil daripada Van de Ven, selepas beliau melepasi Joao Palhinha dan Rodrigo Bentancur di kawasan tepi kotak penalti.

Eze menjaringkan gol keduanya hanya 35 saat selepas babak kedua bermula, melepaskan rembatan kaki kiri yang menuju ke penjuru jauh, sementara Spurs tidak melakukan sebarang percubaan sehingga minit ke-55.

Percubaan pertama mereka, daripada Richarlison, terus menerjah gawang untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada penyokong pelawat, namun Eze memastikan malam tersebut menjadi miliknya.

Dia  melengkapkan hatrik pertamanya dalam Liga Perdana dengan penyudah 14 minit sebelum tamat perlawanan, selepas menerima hantaran dari sebelah kiri, dan dia hampir menambah gol keempat jika tidak kerana aksi cemerlang Guglielmo Vicario.

Kemenangan itu menyaksikan Arsenal berada enam mata di depan Chelsea menjelang pertemuan mereka di Stamford Bridge minggu depan, sementara Manchester City ketinggalan satu mata lagi di tempat ketiga.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img