Pelepah kelapa sawit berpotensi jadi sumber pendapatan sampingan baharu

SEBUAH  hab pemprosesan biojisim sawit yang memfokuskan kepada pelepah sawit bakal dibangunkan dalam masa terdekat dan berpotensi menjadi sumber pendapatan sampingan baharu kepada peladang serta pekebun kecil.

Hab yang dicadangkan untuk dibangunkan di Ladang MPOB Keratong, Pahang itu kini berada pada peringkat cadangan untuk dikemukakan di bawah permohonan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Sebelum ini, sebanyak RM9 juta telah diperuntukkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tempoh 2023 hingga 2025 untuk pembangunan loji rintis penghasilan selulosa dan produk terbitannya daripada biojisim sawit.

Noorshamsiana Abdul Wahab

Ketua Unit Teknologi Biojisim MPOB, Noorshamsiana Abdul Wahab berkata, hab ini akan memproses biojisim sawit dengan tumpuan kepada pelepah sawit bagi menghasilkan produk perantara sebelum ditukar kepada produk bernilai tambah tinggi seperti bahan kimia lignoselulosa, biokomposit, pelet, pulpa dan kertas.

‘’Keterdapatan pelepah sawit dianggarkan antara 60 hingga 65 juta tan setahun dan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya untuk penghasilan produk bernilai tambah, sekali gus menjadi antara faktor utama kepada cadangan pembangunan hab ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah bertajuk “Pengolahan Biojisim Sawit ke Arah Platform Kimia: Penekanan terhadap Selulosa dan Terbitannya” sempena Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025 anjuran MPOB di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Noorshamsiana berkata, pelepah sawit mempunyai kandungan selulosa yang tinggi dan setanding dengan tandan kosong sawit (EFB), menjadikannya bahan mentah yang sesuai untuk penghasilan selulosa dan terbitannya seperti nanoselulosa, mikrokristalin selulosa (MCC) dan karboksimetil selulosa (CMC) yang mempunyai nilai pasaran tinggi.

“Biojisim daripada ladang merangkumi pelepah dan batang sawit. Keterdapatan pelepah adalah berterusan, namun batang sawit hanya dapat diperoleh bergantung kepada aktiviti penanaman semula yang melibatkan penebangan pokok,” katanya.

Menurut beliau lagi, penebangan batang sawit lazimnya dilakukan apabila pokok mencapai usia sekitar 25 tahun ke atas bagi memberi laluan kepada penanaman semula, menjadikan bekalannya tidak konsisten sepanjang tahun.

“Biojisim ini akan ditransformasikan kepada produk bernilai tambah yang mampu memberikan pulangan ekonomi lebih tinggi. Dari kilang pula, kita turut memperoleh biojisim seperti tandan kosong sawit, gentian mesokarpa, tempurung isirung sawit dan efluen sawit sebagai sumber tambahan bahan mentah,” jelasnya.

Noorshamsiana menambah, pada masa ini pelepah dan batang sawit lazimnya hanya dibiarkan di ladang sebagai bahan organik untuk menyuburkan tanah.

“Sebahagian nutrien akan terus dikekalkan di ladang kerana tidak semua biojisim akan diambil. Sebaliknya, hanya sebahagian tertentu akan difokuskan sebagai bahan mentah untuk pemprosesan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa setiap tahun dianggarkan antara 80 hingga 100 juta tan biojisim sawit dihasilkan oleh industri sawit negara, dengan pelepah menyumbang kuantiti terbesar antara 60 hingga 65 juta tan.

‘’Keadaan ini memperlihatkan potensi besar sektor biojisim sawit untuk dimanfaatkan secara lebih menyeluruh, mampan serta berimpak tinggi kepada ekonomi luar bandar,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img