Suami isteri ditahan curi pakaian dari butik

POLIS menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan tiga kes curi pakaian di beberapa cawangan butik pakaian berjenama di sekitar daerah Melaka Tengah pada minggu lalu.

Pasangan berusia 47 dan 44 tahun itu ditahan di Durian Tunggal oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada jam 1.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, susulan penangkapan pasangan itu, polis turut merampas semula pakaian yang dipercayai dicuri dari butik berkenaan, selain merampas pakaian lain dan kenderaan Toyota Altis yang digunakan suspek semasa kejadian.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian curi pakaian yang berlaku antara jam 4.30 petang ke 5.30 petang pada 20 hingga 23 November lalu.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pasangan berkenaan memasuki premis sebelum mencuri pakaian dan kemudian melarikan diri menggunakan sebuah Toyota Altis warna kelabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semakan rekod mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Tambahnya lagi, polis percaya Bahagian Siasatan Jenayah IPD Melaka Tengah telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes kecurian melibatkan kedai berkenaan di daerah tersebut.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img