SEORANG anggota polis ditahan selepas kenderaaan pacuan empat roda dipandunya bertembung dengan dua buah motosikal, mengakibatkan salah seorang penunggang maut manakala seorang lagi cedera parah.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam tadi di Jalan Persiaran Wawasan, berhampiran Kompleks Seri Putera di Kangar, Perlis.
Ketika itu, kenderaan pikap jenis Toyota Hilux dipandu anggota polis terbabit yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Perlis sedang menjalankan rondaan sebelum ia dikatakan bertembung dengan dua buah motosikal berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu pikap polis itu.
“Penunggang motosikal berusia 24 maut manakala seorang lagi penunggang berusia 25 tahun cedera dan ketika kejadian mereka dari arah Seriab ke kawasan Gua Sami.
“Anggota yang memandu pikap polis itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini, lapor Harian Metro.
Video tular selepas kemalangan itu kini tular dalam media sosial termasuk beberapa rakan penunggang motosikal terbabit yang berang terhadap anggota polis itu dan cuba memukulnya.
Menurut Yusharifuddin, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.


