Pulangan pelaburan 1,000 peratus: Pensyarah wanita kerugian hampir RM1 juta

SEORANG pensyarah wanita terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 juta selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan palsu yang menawarkan keuntungan mencecah 1,000 peratus hanya dalam tempoh beberapa minit.

Mangsa yang berusia 40 tahun itu tertarik dengan tawaran skim pelaburan itu yang sebenarnya tidak wujud namun menjanjikan gandaan wang yang tinggi.

Ketua Polis Darah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, wanita itu mula terjebak dengan skim pelaburan tersebut menerusi iklan ‘belajar trading saham’ yang tular dalam laman Instagram pada 28 Julai lalu, sebelum menekan pautan dan berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, ahli sindiket itu kemudian memperdaya mangsa dengan menjanjikan keuntungan segera dan mengarahkannya memuat turun satu aplikasi melalui pautan diberikan kononnya untuk pendaftaran akaun pelaburan.

“Tertarik dengan tawaran itu mangsa nekad mengeluarkan simpanan, meminjam daripada ahli keluarga dan membuat pinjaman bank kerana percaya pelaburan ini mampu memberi pulangan luar biasa.

“Antara 1 September hingga 18 Oktober lalu, mangsa membuat 20 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek, membabitkan jumlah keseluruhan RM914,758.82,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan iaitu hanya dalam masa dua hingga lima minit sahaja.

“Malah, suspek turut meminta bayaran tambahan RM20,000 sebagai ‘yuran suku tahun’ sebelum kononnya membolehkan keuntungan dikeluarkan.

“Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jasin pada 23 November lalu dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Lee turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat, terutama jika pembayaran diminta ke akaun bank persendirian yang menjurus kepada unsur penipuan.

Katanya, orang ramai dinasihati menyemak nombor akaun bank, nombor telefon atau syarikat meragukan melalui portal Semak Mule dan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh 24 jam sekiranya menjadi mangsa penipuan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img