POLIS telah menahan salah seorang daripada lelaki yang diburu dalam kejadian serangan ke atas seorang wartawan sukan, Haresh Deol di Bangsar semalam.
Suspek yang berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan polis di kediamannya jam 2 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
“Suspek dibenarkan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dilakukan bagi mengenal pasti motif,” katanya, lapor Harian Metro.
Semalam media melaporkan, polis sedang memburu tiga lelaki yang dipercayai terlibat memukul wartawan berkenaan berhampiran Bangsar Village di ibu negara, kira-kira jam 4 petang.
Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa sedang berjalan di kaki lima menghala ke Jalan Telawi sebelum dihampiri suspek.


