AHLI-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan rasuah lebih RM600,000 yang mengaitkan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Dalam satu kenyataan, Ketua WHIP PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jika tidak ia akan memberi kesan dan implikasi besar yang berpotensi menggagalkan semua inisiatif serta janji kerajaan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang
Berikut kenyataan penuh beliau:
Ahli-Ahli Parlimen PN (MP PN) mengambil maklum peletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri berkait isu surat sokongan yang dikeluarkan oleh beliau kepada sejumlah kontraktor bagi projek-projek di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tahun lepas yang juga telah dibangkitkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Dalam pada itu, MP PN juga memandang serius pendedahan oleh seorang ahli perniagaan bahawa beliau telah memberikan sebanyak lebih dari RM600,000 kepada individu yang sama berkait skandal perlombongan mineral di negeri Sabah yang mendapat perhatian ramai sebelum ini.
Menurut ahli perniagaan itu lagi, beliau telah menyusun dokumen lebih 300 halaman, termasuk tangkap layar perbualan WhatsApp, resit dan gambar, bagi menyokong dakwaannya.
Sehubungan perkembangan ini, MP PN mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya segera menjalankan siasatan tanpa berlengah, menyeluruh dan bebas bagi menentusahkan dakwaan yang dibuat .
Ini kerana ia melibatkan seorang pegawai kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Jika tidak ia akan memberi kesan dan implikasi besar yang berpotensi menggagalkan semua inisiatif serta janji kerajaan untukmemerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang.
MP PN juga menggesa semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya, supaya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
Sebarang salah laku oleh mana-mana pihak hendaklah diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih.
MP PN kekal komited pada prinsip-prinsip ketelusan, akauntibiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang bagi menjamin keutuhan institusi kerajaan, maruah negara dan keyakinan rakyat.


