SEORANG wanita maut manakala seorang lagi terselamat selepas kereta dinaiki mereka dihanyutkan arus deras banjir di Kampung Batu 5, Jalan Jedok di Tanah Merah, Kelantan awal pagi ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.13 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX dihanyutkan arus di kawasan berkenaan.
“Jentera bomba tiba di lokasi tiga minit kemudian dan operasi mencari serta menyelamat segera dijalankan. Mangsa pertama, Shamila Suzie Ahmad Basharuddin berjaya diselamatkan manakala seorang lagi wanita Siti Gayah Zakaria didapati hilang.
“Mangsa kedua iaitu Siti Gayah ditemukan pada 7.49 pagi tadi tidak jauh dari lokasi kereta berkenaan tersangkut sebelum disahkan meninggal dunia,” kata jurucakap JBPM Kelantan ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurutnya, operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah bersama sebuah jentera sebelum mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, hujan lebat berterusan lebih tiga jam di daerah Kuala Krai hari ini mengakibatkan penduduk di kawasan rendah berhampiran lembangan sungai di Kuala Pertang ditenggelami air melebihi paras tiga meter.
Situasi itu menyebabkan kira-kira 500 penduduk dari empat kampung iaitu Kampung Mial, Tanjung Kala, Sungai Tasan dan Ladang Kuala Pertang terkepung selepas tiga jambatan utama yang menjadi laluan keluar masuk kampung tersebut ditenggelami air.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Adnan Mat Yassin berkata kepada Sinar Harian, situasi itu memaksa penduduk menyelamatkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam keadaan cuaca gelap dan sejuk.

Dalam pada itu, Ketua BBP Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa memberitahu, enam kampung di Kuala Krai dilanda banjir sejak awal pagi tadi akibat hujan lebat
Kampung terlibat ialah Kampung Bedal, Kampung Bukit Sireh, Kampung Chenulang, Kampung Kebun Pisang, Kampung Pasir Jering dan Kampung Kuala Pertang.
“Kesemua mangsa yang terjejas telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan oleh agensi penyelamat termasuk bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Pemantauan dan operasi menyelamat akan diteruskan secara berterusan sekiranya masih terdapat kawasan lain yang dinaiki air,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut memberitahu, laluan di kawasan Pejabat RISDA berhampiran Jalan Bukit Sireh, Kampung Bedal dan Kuala Nal telah ditutup kepada semua jenis kenderaan ringan sepanjang 400 meter.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), enam PPS dibuka di Kuala Krai melibatkan 235 mangsa daripada 89 keluarga setakat 1 petang ini.


