SEORANG pekerja kilang warga Nepal maut akibat dihempap pintu pagar asrama pekerja warga asing itu di Valdor Sungai Jawi di Nibong Tebal, Pulau Pinang awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa dikenali sebagai Bhujel Ram berusia 37 tahun.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.43 pagi sebelum sepasukan 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Penyelamat Sungai Bakap bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik sahaja tiba kerja-kerja penyelamatan segera dibuat dengan mengalihkan pintu pagar tersebut namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat daripada pengawal dan rakaman kamera litar tertutup di premis itu, kejadian berlaku ketika mangsa hendak membuka sendiri pintu pagar tersebut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
John berkata ketika kejadian, pengawal keselamatan yang bertugas tiada di situ kerana sedang membuat rondaan di kawasan lain dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


