Kes tembak, tetak di Sendayan ada kaitan perbalahan geng kongsi gelap

KEJADIAN tembak dan tetak seorang lelaki yang sedang makan di restoran di Nusari Biz Sendayan, Negeri Sembilan pada 19 November lalu berkemungkinan mempunyai kaitan perbalahan antara kumpulan penjenayah kongsi gelap.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu dan memaklumkan setakat ini empat suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu yang mengakibatkan kematian mangsa.

Menurut beliau, kesemua empat suspek yang ditahan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an dan merupakan lelaki tempatan.

“Keempat-empat suspek ditahan pada 21 dan 22 November lalu dan kini masih dalam perintah reman. Dua suspek pertama akan tamat reman hari ini dan kita akan sambung lagi untuk meneruskan siasatan manakala dua lagi suspek akan tamat reman pada 28 November,” katanya ketika ditemui media dalam satu program di Kuala Pilah, hari ini.

Mengulas lanjut Alzafny berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan operasi untuk mengenal pasti suspek yang terlibat dan setakat ini 10 saksi sudah dirakamkan percakapan.

Mengenai motif kejadian beliau berkata, pihaknya masih lagi mengenal pasti punca kejadian, namun keempat-empat yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk jenayah kekerasan, samun dan dadah.

“Kalau kita tengok kepada mangsa sendiri, dia juga mempunyai banyak rekod jenayah. Kemungkinan kejadian ini berlaku disebabkan aktiviti kongsi gelap atau geng jenayah,” katanya.

Ditanya sama ada mangsa dan suspek mempunyai hubungan, Alzafny berkata, berdasarkan siasatan setakat ini, kedua-dua pihak terbabit dengan kes samun di Negeri Sembilan dan Lembah Klang.

“Kami masih mengesan suspek lain yang terbabit dalam kes ini dan memerlukan lebih ramai lagi saksi untuk tampil memberi maklumat serta keterangan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img