Pembantu rumah Indonesia didera, gaji tidak dibayar sejak dua tahun

KEJAMNYA. Sudahlah dipaksa bekerja 24 jam tanpa henti selain dipukul dan didera, seorang wanita warga Indonesia mendakwa dia tidak pernah menerima bayaran gaji selama dua tahun berkhidmat sebagai pembantu rumah dengan satu keluarga di Batu Caves, Gombak.

Lebih menyedihkan, wanita malang berusia 56 tahun itu ditemui dalam keadaan ketakutan ketika bersembunyi di bawah sebuah kenderaan pacuan empat roda di rumah majikannya itu.

Penderitaan wanita tersebut berakhir apabila dia diselamatkan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang membuat serbuan di rumah tersebut kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mangsa dipaksa untuk bersembunyi di bawah kenderaan oleh majikannya bagi mengelak daripada dikesan pegawai imigresen yang melakukan serbuan.

“Mangsa dilaporkan telah bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa memiliki sebarang pas bekerja yang sah.

“Berdasarkan pengakuan awal, mangsa hanya dijanjikan gaji sebanyak RM600 sebulan, namun tidak menerima sebarang bayaran gaji sejak dua tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat JIM Putrajaya hasil maklumat yang diterima daripada sumber yang tidak boleh didedahkan.

Beliau berkata, ketika diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan trauma akibat sering dimarahi dan pernah dipukul oleh majikan.

“Selain itu, pasport milik mangsa tidak berada dalam simpanannya sepanjang tempoh bekerja, malah berdepan sekatan komunikasi apabila tidak dibenarkan memegang telefon bimbit, dilarang menghubungi dan pulang menemui keluarga.

“Mangsa turut dipaksa bekerja tanpa waktu rehat hingga terpaksa mencuri masa untuk tidur,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang juga majikan telah ditahan.

“Lelaki itu mengaku mendapatkan khidmat mangsa melalui ahli keluarga terdekat,” katanya.

Zakaria berkata, operasi menyelamat itu menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

JIM telah memulakan siasatan kes tersebut di bawah ATIPSOM 2007 (Akta 670), katanya.

Beliau berkata, JIM memandang serius perkara seumpama ini dan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang.

“Orang awam dinasihatkan agar terus menyalurkan maklumat berkenaan eksploitasi warga asing supaya tindakan segera dapat diambil dalam usaha membanteras jenayah ini.

“Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-8880 1471 atau e-mel ke urusetia_p@imi.gov.my,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img