POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan gangguan seksual terhadap tiga pelajar perempuan di asrama sebuah sekolah di Kuala Kubu Bharu, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, tangkapan terbabit dibuat selepas pihaknya menerima tiga laporan daripada remaja perempuan terbabit pada 4.16 petang semalam
“Hasil siasatan mendapati suspek melakukan gangguan seksual dengan menyentuh tiga remaja berusia 16 tahun itu semasa kesemua mangsa sedang tidur di katil asrama terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Menurut Ibrahim, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan pada hari sama laporan dibuat dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau memberitahu, permohonan reman akan dilaksanakan hari ini terhadap lelaki terbabit dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Ibrahim berkata, dengan tangkapan terbabit, pihaknya berjaya menyelesaikan kes tersebut.


