Scam: Dua kerani rugi lebih RM900,000 di Pulau Pinang dan Pahang

SINDIKET penipuan melalui panggilan telefon dan media sosial terus berlaku. Terbaru di Pulau Pinang dan Pahang apabila dua kerani kerugian lebih RM900,000.

DI PULAU PINANG, seorang kerani di sebuah pejabat insurans kerugian lebih RM600,000, selepas ditipu sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kejadian bermula selepas wanita berusia 61 itu, menerima panggilan daripada seorang individu mengaku sebagai pegawai bank memaklumkan ada individu telah menggunakan kad kredit atas namanya.

“Mangsa menafikan perkara tersebut dan panggilan terus disambungkan kepada seorang individu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Pegawai polis tersebut meminta butiran diri mangsa untuk disemak dan selepas itu suspek memberitahu mangsa bahawa dirinya terlibat dengan kes pengubahan wang haram serta meminta semua maklumat akaun mangsa yang masih aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke beberapa akaun bank yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan.

Azizee berkata sepanjang tempoh 14 hingga 28 Ogos lepas, mangsa telah membuat sebanyak 14 transaksi pindahan wang ke empat akaun bank tempatan berbeza berjumlah keseluruhan RM601,850.

Beliau berkata mangsa menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada anak perempuannya, sebelum tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.D

DI KUANTAN,  seorang kerani akaun kerugian hampir RM300,000 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud melalui aplikasi TikTok bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 52 tahun itu berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi berkenaan pada 1 Ogos, sebelum ditawarkan peluang pekerjaan sambilan melalui satu pautan yang menyerupai platform e-dagang.

“Mangsa menerima pautan laman web daripada suspek dan membuat pendaftaran pada laman tersebut. Wanita terbabit diarahkan membuat pembayaran terlebih dahulu atas nama tempahan pelanggan kononnya bagi urusan jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudiannya membuat sebanyak 16 transaksi ke dalam empat akaun bank berbeza berjumlah RM299,646 menggunakan wang simpanannya sendiri, namun tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan.

Dalam pada itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan serta membuat semakan awal di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.

“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa juga dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img