POLIS berjaya menahan sebanyak 105 pendatang asing tanpa izin dalam tiga operasi yang dijalankan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman dengan kerjasama agensi berkaitan di sekitar Sekinchan dan Sabak Bernam awal pagi ini.
Dalam serbuan pertama di sebuah premis kediaman di sekitar Sekinchan pada jam 2.40 pagi, polis menahan tiga lelaki berusia antara 26 hingga 32 tahun serta seorang wanita berusia 24 tahun yang merupakan penjaga premis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, turut ditahan dalam serbuan itu adalah 14 lelaki berusia antara 21 hingga 49 tahun dan 22 wanita berusia antara 24 hingga 56 tahun kerana tiada dokumen perjalanan yang sah selain turut merampas enam telefon bimbit.
”Dalam operasi kedua sekitar jam 2.15 pagi di kawasan jeti Sekinchan, pemeriksaan ke atas sebuah van telah membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia 19 tahun yang bertindak sebagai pemandu dan tekong darat.
”Bersamanya terdapat lima lelaki berusia lingkungan antara 19 hingga 41 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Polis turut merampas empat unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM157,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazeli berkata, serbuan ketiga di sekitar perairan Sabak Bernam pada jam 2.15 pagi hasil rondaan bersama Polis Marin dan pasukan petugas khas Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) telah memintas sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 43 tahun bertindak sebagai tekong bot bersama dua lelaki, juga warga asing berusia antara 35 hingga 46 tahun yang bertindak sebagai pembantu tekong.
”Turut ditahan 48 lelaki berusia antara 16 hingga 56 tahun dan lapan wanita berumur 21 hingga 50 tahun yang semua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Polis turut merampas tiga telefon bimbit,” katanya.
Shazeli berkata, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 26a ATIPSOM 2007 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Tegas beliau, pihaknya komited membanteras aktiviti pemerdagangan orang serta penyeludupan migran dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat selain menyeru kerjasama orang ramai dalam membantu membanteras jenayah terbabit.


