Pelajar IPT dan sekolah menengah ditahan larikan diri ketika pemeriksaan

POLIS menahan seorang penuntut universiti dan pelajar sekolah menengah yang cuba melarikan diri ketika pemeriksaan polis sewaktu mereka memberhentikan kenderaan dinaiki di tepi jalan di Kampung Sungai Rual di Jeli, Kelantan hari ini.

Kejadian berlaku jam 3.30 petang ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang sedang menjalankan rondaan terserempak kereta jenis Perodua Myvi berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, ketika anggotanya cuba menghampiri kenderaan terbabit, pemandunya bertindak memecut dan enggan memberikan kerjasama.

“Berikutan itu, anggota MPV telah mengejar kereta tersebut dan pemandu turut bertindak menghalang serta menghimpit kenderaan polis selain memandu secara melulu.

“Kenderaan terbabit akhirnya berjaya ditahan di Kampung Rabbana. Namun pemandunya cuba melarikan diri sehingga berlaku pergaduhan kecil sebelum berjaya diberkas,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut beliau, semakan dalam kenderaan itu turut menemui seorang penumpang perempuan.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu tersebut merupakan seorang penuntut di sebuah IPT manakala penumpang pula masih bersekolah.

“Kedua-duanya dipercayai terkejut dengan kehadiran polis dan melarikan diri ketika mahu diperiksa,” katanya.

Kamarulzaman memberitahu, semakan lanjut juga mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Ujar beliau, kes ini disiasat bawah Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan, manakala permohonan reman terhadap pemandu lelaki itu akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama sekiranya pemeriksaan dilakukan oleh pihak berkuasa serta mematuhi undang-undang ditetapkan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img