POLIS kini memberi tumpuan terhadap kewujudan faktor jenayah kongsi gelap dan dadah bagi menyiasat kes seorang lelaki yang mati ditembak dalam kenderaan pacuan empat roda di Taman Mesra Indah, Klang pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bagaimanapun berkata, siasatan menyeluruh masih dijalankan bagi mengesan suspek dan motif kejadian.
“Semakan awal mendapati mangsa memiliki tiga rekod kes dadah iaitu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15 akta sama.
“Mangsa berusia 26 tahun itu maut akibat lima das tembakan jarak dekat di bahagian badan menggunakan senjata pistol,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, hari ini.
Ditanya sama ada kes terbaharu itu mempunyai kaitan dengan kes tembak di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang pada 7 November lalu, Shazeli berkata, pada peringkat ini kedua-dua kes ini tidak mempunyai kaitan.
“Kes ini juga masih dalam siasatan dan seorang suspek telah diberi jamin polis,” ujarnya.
Sebelum itu, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat pada jam 8.35 malam berhubung kejadian tembak di Taman Mesra Indah, Klang.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Mohd Harman Mohd Haniff di talian 019-210 0334 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di 03-3376 2222.


