PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan polis tidak menyiasat pengkritiknya selagi tidak menyentuh aspek jenayah.
Katanya, polis juga tidak perlu mengambil tindakan terhadap pengkritik kerana kritikan dilontarkan kepada beliau bermotifkan politik semata-mata.
“Beberapa tindakan terhadap beberapa pengkritik kerajaan, termasuk serangan terhadap saya, saya telah beri arahan tidak perlu disiasat.
“Saya tidak pertikai apa tujuan, matlamat orang-orang yang menyerang (kerana) kadang-kadang tidak berasas, tetapi saya telah mengarahkan (tiada tindakan) selain daripada kes jenayah yang jelas atau tuduhan agak keterlaluan…yang sudah tidak ada tatasusila,” katanya lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10, Cyberjaya hari ini.
Anwar turut menempelak segelintir pihak menyokong tindakan mengkritik dengan melontarkan kata-kata keterlaluan dan tidak berasas.
“Saya pun aneh juga merasakan betapa kadang-kadang orang-orang dalam parti Melayu dan Islam mendukung hal-hal sedemikian. Walau bagaimanapun, saya telah mengarahkan supaya kritikan terhadap Anwar atau sebagai perdana menteri tidak harus diambil tindakan.
“Apa lagi kalau nak kata-kata berpaut hanya politik atau meminta supaya Perdana Menteri undur atau letak jawatan atau disingkir. Kenyataan biasa itu saya tidak fikir saya atau polis harus layan,’’ katanya.


