‘’Bersihkan diri, bersihkan pemikiran,bersihkan jiwa’’ – kata Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam sebuah negara demokrasi, kritikan terhadap langkah kerajaan adalah perkara biasa, namun yang membimbangkan ialah sikap segelintir pihak yang lantang menentang rasuah tetapi pada masa sama mempertahankan kepentingan syarikat besar yang terpalit isu integriti.

Memetik surah Al-Muddathir, Perdana Menteri berkata ayat-ayat awal surah itu mengingatkan manusia agar bangun daripada kelalaian, tidak hanyut dalam rasa cukup diri, serta sentiasa membersihkan hati dan amalan daripada sifat khianat, hasad dengki dan kecuaian.

“Kadang-kadang kita anggap diri sudah cukup sempurna, sudah cukup berjasa, sudah cukup pintar. Itu semua kealpaan…bangun daripada kelalaian itu penting. Jika benar yakin kepada Allah Yang Maha Besar, bersihkan diri, bersihkan pemikiran, bersihkan jiwa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2025 di Putrajaya hari ini.

Majlis sambutan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Berucap lanjut, Anwar menegaskan bahawa sambutan itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya platform memperbaharui tekad dalam memerangi rasuah, selaras dengan peringatan moral dan nilai yang digariskan dalam al-Quran.

Dalam konteks pentadbiran negara, Perdana Menteri berkata tiada pembaharuan boleh dicapai tanpa kekuatan nilai yang tulen sama ada dalam aspek integriti, ekonomi mahupun sistem keadilan.

“Tatakelola yang baik, integriti yang lebih kukuh, ekonomi yang lebih adil,  semuanya tidak mungkin dicapai jika nilai tidak disemai dan diamalkan,” katanya sambil menyeru pembudayaan nasional yang tegas menolak rasuah diperkasakan dengan iltizam lebih besar.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha pencegahan rasuah sejak zaman Rasulullah SAW menekankan pembinaan watak dan persediaan moral sebelum perjuangan dan kepimpinan dimulai, sehingga lahir generasi berintegriti teguh yang dikenali sebagai jilun quraniyun farid, iaitu generasi yang bukan sahaja membaca tetapi menghayati wahyu.

Mengenai hala tuju negara, Anwar menegaskan Malaysia MADANI tidak menolak semua perkara lama, namun menuntut keberanian meninggalkan sistem bobrok (merosakkan)  yang memuliakan rasuah dan menjadikannya norma bagi mereka yang berkuasa.

‘’Kerajaan MADANI sentiasa memberikan dukungan penuh kepada semua badan penguat kuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam memperkukuh usaha memerangi rasuah.

‘’Bagaimanapun berkata sokongan itu mesti hadir seiring komitmen terhadap nilai, tatakelola dan tindakan yang konsisten,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img