SEORANG pelajar lelaki maut, manakala adiknya cedera selepas motosikal dinaiki mereka dalam perjalanan ke sekolah terbabit kemalangan di Jalan Kampung Baru, Limau Kasturi di Gua Musang, Kelantan pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa, Amsyar Zafran Amran, 15, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jeram Tekoh.
Pembonceng yang juga adik perempuan mangsa berusia 13 tahun cedera dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.05 pagi.
Beliau berkata, kejadian membabitkan sebuah van dan motosikal jenis Yamaha 135LC dinaiki dua beradik terbabit.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van berusia 58 tahun dalam perjalanan menghantar anak saudara ke sekolah dari arah Bertam menghala ke Sungai Asap.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu van memotong sebuah lori yang berada di hadapannya dan pada masa sama penunggang motosikal juga turut memotong, namun hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan di sebelah kanan menghala ke Sungai Asap disebabkan bahu jalan yang tidak berturap.
“Penunggang motosikal terjatuh di atas jalan dan pada masa sama, pemandu van tidak sempat membrek lalu merempuhnya sehingga terseret sejauh 15 meter. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222,” katanya.


