DUA beradik masing-masing berusia dua dan tiga tahun berdepan detik cemas apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan mesin tali sawat pengangkut bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di Kota Kinabalu malam tadi.
Dalam kejadian 9.30 malam itu, kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan tersepit pada mesin bagasi berkenaan, manakala kakaknya berusia tiga tahun pula terdedah kepada radiasi alat berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Mohd Hannis Mokthar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.52 malam sebelum sepasukan anggota pasukan itu dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati dua kanak-kanak dipercayai memasuki kawasan mesin penghantar bagasi di ruang pemeriksaan KKIA.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dua kanak-kanak itu diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke Hospital Likas bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dilaporkan selamat dan operasi ditamatkan jam 10.20 malam selepas dipastikan tiada lagi risiko di lokasi.
Sehubungan itu, Mohd Hannis menasihatkan orang awam, khususnya ibu bapa agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak di kawasan awam bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.


