Ahlong bogelkan peminjam, rakam dan sebar gambar mangsa

SEORANG pendandan rambut di sebuah salun mendakwa dia dibogelkan dalam tandas sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya oleh tiga lelaki dipercayai ejen syarikat pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ahlong, baru-baru ini.

Kejadian berlaku pada Sabtu lalu ketika mangsa lelaki yang hanya dikenali sebagai Danish, 34, dihubungi ejen syarikat pemberi pinjaman wang tanpa lesen terbabit.

Danish dalam sidang media di ibu negara mendakwa, sebaik tiba di pusat beli-belah itu, dia dihampiri tiga lelaki tidak dikenali yang mengugut menggunakan pisau dan memaksanya masuk ke sebuah bilik air.

“Mereka bawa saya ke bilik air dan paksa buka baju dan seluar, manakala salah seorang daripada mereka merakam. Disebabkan takut dicederakan saya hanya mengikut saja arahan mereka.

“Mereka ugut nak potong kaki dan tangan saya jika tidak mengikut arahan, jadi saya ikut saja.

“Mereka juga mengambil barangan peribadi saya termasuk telefon bimbit. Kemudian ahlong itu menyebar video yang dirakam itu ke dalam semua kumpulan WhatsApp saya termasuk kumpulan WhatsApp kerja,” katanya, lapor Harian Metro.

Danish mendakwa, semuanya bermula apabila dia meminjam RM1,000 daripada sebuah syarikat pinjaman wang tidak berlesen yang ditemui dalam media sosial.

Danish mendakwa, dia terpaksa membuat pinjaman atas faktor kecemasan dan diberikan masa beberapa hari untuk melangsaikannya di mana jika gagal akan dikenakan yuran lewat sebanyak RM450 setiap satu jam.

“Saya pinjam RM1,000 tetapi hanya dapat RM500 saja atas alasan caj pemprosesan dan disuruh bayar dalam masa tiga hari, malah akan dikenakan yuran lewat sekiranya gagal membayar.

“Saya sudah membayar, ada resit semua, tetapi mereka masih minta wang daripada saya lagi. Mereka minta lagi RM1,200 dan terbaru sehingga RM10,000 mereka suruh bayar.

“Sebab tak mampu bayar mereka serang saya, saya menyesal pinjam wang daripada mereka. Saya terpaksa meminjam kerana kecemasan,” katanya.

Katanya, ahlong terbabit turut mengganggu dan menghubungi ibu bapanya dan mendakwa pernah membuat panggilan telefon sebanyak 200 kali.

Menurutnya, tindakan ahlong berkenaan menyebarkan video memalukan itu membuatkan dia dicemuh dan dihina kenalan, malah segelintir ahli keluarga turut mencemuh.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim menggesa orang ramai terutama kenalan serta ahli keluarga memberi sokongan moral kepada mangsa.

“Dalam keadaan tidak berpakaian, tiga lelaki terbabit merakam video dan mengambil gambar mangsa sebelum merampas telefon dan beg mangsa.

“Kesan daripada tindakan suspek itu, mangsa menerima keaiban yang melampau dalam kalangan rakan tempat kerja, ahli keluarga dan saudara-mara serta semua kenalannya,” katanya.

Justeru, beliau memohon tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa ke atas individu yang bertanggungjawab dalam serangan itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img