Aktiviti songsang: Akibat permohonan reman lewat… 171 individu bebas

POLIS Kuala Lumpur mengakui agak sukar untuk membanteras kegiatan aktiviti songsang membabitkan pesalah sesama jenis walaupun fenomena itu semakin membimbangkan di negara ini.

Sebagai contoh, 171 daripada 208 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat kesihatan yang menyediakan kemudahan premis perlakuan sumbang di Chow Kit, di ibu negara awal pagi semalam terpaksa dibebaskan selepas permohonan reman ke atas kesemua individu terbabit ditolak oleh mahkamah.

Bukan menyalahkan mahkamah namun Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, permohonan reman itu ditolak berikutan kelewatan permohonan yang dikemukakan oleh pihak polis.

“Permohonan reman ini lewat kerana ia melibatkan jumlah tangkapan yang ramai dan proses pengelasan perlu dilakukan satu persatu.

“Keadaan ini menyebabkan permohonan reman dibuat lewat dan atas sebab itu, majistret telah menolaknya,” katanya ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru di ibu negara hari ini.

Dalam serbuan pada Jumaat malam itu, sebanyak 17 orang penjawat awam merupakan antara 208 individu yang ditahan dalam serbuan bersama polis, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas intipan dan risikan selama dua minggu.

Mereka terdiri daripada 201 pengunjung dan tujuh pekerja termasuk lelaki warga asing berusia antara 19 hingga 60 tahun.

Fadil turut menjelaskan, daripada jumlah keseluruhan yang ditahan dalam operasi tersebut, hanya 31 warga asing direman selama dua hari.

“Bagaimanapun, tiada bukti yang boleh membantu polis menjalankan siasatan lanjut. Maksudnya, walaupun tindakan telah diambil, penganjur nampaknya masih bebas dan kita tidak dapat menyerbu mereka secara langsung.

“Selain itu, kita tidak boleh mendakwa mereka dari sudut undang-undang sedia ada kerana bagi kes eksploitasi, pelacuran atau perlakuan luar tabi‘i, mesti ada mangsa. Namun, tiada seorang pun daripada mereka yang mengaku menjadi mangsa, jadi kes tidak dapat diteruskan,” katanya.

Bagi warga asing yang ditahan pula kata beliau, hanya mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tindakan diambil di bawah Akta Imigresen.

“Tangkapan ini melibatkan kategori masalah jenayah sosial yang semakin membimbangkan,” ujarnya.

Menurut Fadil, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 377 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img