SEORANG pemandu ambulans maut manakala tiga wanita termasuk seorang pesakit cedera selepas kenderaan itu terbabas dan terbalik di Kilometer 59.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Simpang Renggam, hari ini.
Dalam nahas kira-kira jam 1.05 petang itu, pemandu ambulans, Nurazrein Zainal, 43, meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi mangsa wanita adalah dua pembantu perubatan dan seorang pesakit.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Renggam, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), M Nasir A Shah berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada jam 1.10 petang dan sebaik sahaja dimaklumkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama enam anggota ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan ambulans yang terbabas dan terbalik di kiri lebuh raya. Empat mangsa berada dalam kenderaan iaitu seorang pemandu lelaki, dua pembantu perubatan wanita serta seorang pesakit wanita.
“Hasil pemantauan di lokasi nahas mendapati pemandu dan seorang penumpang hadapan telah tercampak keluar dari ambulans, manakala dua lagi mangsa berada di ruang belakang dan tidak tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut M Nasir, anggota penyelamat segera bertindak mengalihkan mangsa-mangsa yang cedera ke kawasan selamat sebelum dibawa oleh ambulans lain ke hospital untuk menerima rawatan.
“Pemandu ambulans disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. Operasi di lokasi kemalangan tamat jam 2.24 petang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang untuk rawatan lanjut.
“Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya ringkas ketika dihubungi.


